Mohonlah Pertolongan Daripada Allah | Hadis Ke 19

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwwah,

Alhamdulillah dipanjangkan umur untuk terus menulis di blog FirdausAzizi.my. Semoga setiap penulisan di dalam blog ini bermanfaat untuk para pembaca dan pelawat yang sudi singgah dan meluangkan masa membaca coretan saya.

Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi kupasan ringkas tentang Hadis ke 19 daripada Hadis 40 Imam An-Nawawi. Saja saya pilih hadis ke-19 ini sebab ia adalah antara hadis kegemaran isteri saya.

Hadis ke-19

Ini adalah Hadis Ke 19 Daripada Hadis 40 Imam Nawawi

Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رﺿﻲ اﷲ ﻋﻨﻬﻤﺎ  beliau berkata:

“Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:

“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah:

  • Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu.
  • Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah.
  • Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu.

Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran- lembaran telah kering (dakwatnya).”

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi.

Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih.

Dalam riwayat selain al-Tirmizi, hadis berbunyi:

“Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapati-Nya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan.”

Pengajaran Daripada Hadis Ke-19

Daripada hadis ke-19 di atas, berikut adalah beberapa pengajaran yang boleh kita ambil sebagai renungan bersama.

1. Pelihara Hak Allah, Allah Akan Pelihara Kita

Apa yang Rasulullah SAW maksudkan di sini ialah dengan kita melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah, Allah akan memelihara dan menjaga urusan kita.

Apa contoh urusan kita yang Allah akan jaga dan confirm sangatlah mudah untuk Allah settle kan?

  • Akidah kita
  • Keimanan kita
  • Rezeki kita
  • Keselamatan harta benda
  • Kesihatan
  • Kemudahan urusan pekerjaan
  • Keselamatan ahli keluarga
  • Dan  banyak lagi…

Pokok pangkalnya; kita kena buat our part first (hak Allah), dan yakinlah Allah akan memberi ganjaran dengan memudahkan urusan kita.

Sebab itulah Prof Dr Muhaya dalam ulasan tentang kenaikan harga barang ada menekankan tentang mendekatkan diri dengan Allah supaya rezeki berkat 🙂

2. Mintalah Pertolongan Dengan Allah

Mohonlah pertolongan dari Allah, bukan dengan makhluk

Sebagai hamba-Nya, kita kenalah mohon pertolongan hanya kepada Allah yang Maha Berkuasa. Janganlah kita meminta-minta dengan yang selain daripada Allah. Hanya Allah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Dalam ayat ke 60 dalam Surah Al-Ghafir,

Dan Tuhan kamu berfirman, “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”

Dan kalau nak minta pertolongan dengan Allah, kenalah pastikan kita memelihara hak Allah kan? Tak malu ke kita kalau hak Allah kita tak jaga, tapi terhegeh-hegeh nak minta tolong dengan DIA?

3. Semuanya Berlaku Dengan Izin Allah

Kita perlu yakin bahawa apa saja yang berlaku adalah dengan kuasa dan izin Allah. Kesenangan ataupun kesusahan; kedua-duanya berlaku dengan izin-Nya.

Kalau kita berjaya dan kaya raya, jangan sama sekali kita sangka itu disebabkan kehebatan kita. Kita berjaya tu dengan izin Allah. Kehebatan kita hanyalah pinjaman daripada Allah. Bila-bila masa saja Allah boleh tarik daripada kita.

Kalau kita ada staff, pasukan ataupun bisnes partner yang mantap, jangan sama sekali kita rasa kita boleh berjaya sebab kehebatan kita. Kalau Allah tak izinkan kita berjaya, walaupun sehebat mana pasukan anda, pasti tak akan berjaya.

Begitulah juga dengan kesusahan dan ujian yang melanda. Itu juga berlaku dengan izin Allah.

Kalau kereta kena pecah masuk dan laptop kena kebas, memanglah pencuri yang berjaya curi kan? Tapi kita kena yakin kejadian itu berlaku dengan izin Allah. Allah yang benarkan itu terjadi. Perancangan Allah itu pasti ada sebab yang hikmah yang tersirat.

Lagi contoh; masa Pilihanraya Umum Ke-13, walaupun majoriti rakyat mengundi Pakatan Rakyat, tapi yang jadi kerajaan tetap Barisan Nasional. Kita ingat dah ramai penyokong dan pengundi PR, tapi kalah jugak. Semuanya sebab Allah belum izinkan dan ianya pasti bersebab.

Pendek kata, kita kena terima dan yakini qada' dan qadar (ketentuan dan ketetapan Allah).

4. Sentiasa Ingat Allah

Kadang-kadang (atau kebiasaannya?) kita nih hanya ingat Allah bila dalam kesusahan dan ditimpa ujian. Masa tu lah baru nak solat sunat itu ini, baru nak baca Quran, baru nak zikir… Bak kata pepatah, “Dah terantuk baru terngadah”.

Dah kena uji, baru kenal siapa Tuhan, siapa hamba. Betul?

Sebagai seorang hamba, kita perlulah mengingati Allah di kala senang dan juga ketika ditimpa kesusahan. Waktu senang, janganlah leka dan alpa. Yang beri kesenangan itu pun Allah, bukannya kita. Kalau kita usaha sekalipun, yang ‘benarkan' kita berjaya siapa? Allah kan?

5. Nak Berjaya Kena Sabar

Rasulullah dah pesan siap-siap, “kemenangan itu ada bersama kesabaran”. Nak berjaya bukan senang, tapi kenalah bersabar. Dalam setiap kesusahan yang melanda, pasti Allah akan titipkan kesenangan apabila kita bersabar.

Ingat, Allah adalah Maha Adil dan Maha Penyayang.

Apa yang kita buat, apa yang kita usahakan dengan penuh kesabaran, Allah akan balas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Kalau tak dapat habuan di dunia, dapatlah di akhirat nanti. Lagipun dunia kan hanyalah seketika 😉

Tahukah anda bahawa satu hari di akhirat adalah bersamaan dengan 1,000 tahun di dunia? Kalau dibuat kira-kira, jangka hayat di dunia hanyalah 8% daripada satu hari di akhirat.

Apa Way Forward Kita?

Daripada ulasan hadis ke-19 di atas, apakah langkah kita yang seterusnya? Saya tolongkan simpulkan untuk anda 😉

  1. Jaga hak Allah dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya
  2. Mintalah pertolongan hanya daripada Allah, bukan daripada makhluk
  3. Yakin bahawa setiap yang berlaku adalah dengan izin Allah dan pasti ada hikmah yang tersirat
  4. Ingat Allah dalam setiap ketika; senang mahupun susah
  5. Bersabar dengan ujian di dunia

Semoga entri kali ini menjadi satu muhasabah dan santapan rohani buat anda dan diri saya sendiri yang menulis. Marilah kita sama-sama membaiki diri untuk menuju mardhatillah.

Sumber rujukan:

  1. Hadis 40 Imam An-Nawawi (download link versi PDF)
  2. Hadis 19 – Pertolongan dan Perlidungan Allah
  3. Hari Akhirat Vs Hari Dunia

P.s. – Sekiranya ada info yang salah, mohon betulkan di ruangan komen yer 😉

P.s.s. – Saya bukanlah seorang Ustaz, saya hanyalah seorang Hamba Allah yang gilakan saham pahala di akhirat. Jadi kalau rasa entri ini bagus untuk dikongsi bersama teman-teman, jemputlah klik butang Like di bawah 😀

Belajar sesuatu dari artikel di atas? Jika ya, boleh klik butang di bawah untuk share dengan rakan lain @ tinggalkan sebarang soalan @ cadangan di bawah apa yang anda belajar. 👇🏻

Leave a Reply to Dkna Abza Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 Comments

  1. Mengikut apa yang saya faham dalam Al-Quran, Allah berkata :

    “Sesiapa yang tidak meminta (doa) kepada-ku, maka dia adalah manusia somboong”.

    Betul kan Mr. Firdaus? 🙂